Salam Nuzul Qur’an 1442h
Salam Nuzul Qur’an 1442H ????
Subhanallah..Hebatnya Al-Qur’an hinggakan hati terasa tenang.Jiwa rasa bahagia.
Kalam Allah yang tiada tandingannya.
Membaca, menghafaz, mendengar, mempelajari dan menghayati setiap ayat-ayat Allah mampu melembutkan hati hingga menitis airmata keinsafan ????????????
Terbayang detik indah ketika Allah SWT menurunkan ayat Nya yang pertama iaitu Surah Al-Alaq ayat 1-5 kepada kekasih Nya,
Junjungan Besar Nabi Muhammad saw melalui Malaikat Jibril as di Gua Hira’.
“Bacalah (wahai Muhammad) Dengan Nama Tuhan-mu, yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari segumpal darah beku.
Bacalah Dengan Nama Tuhan-mu, Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya”. (al-‘Alaq: 1-5).
Sejak daripada peristiwa itu al-Quran diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah sebelum lengkap sepenuhnya pada 10 Hijrah.
Dampingi Al-qur’an sepanjang hidup kita kerana ia adalah pedoman terindah, sumber hidayah, pembawa rahmat, syifa’ (penawar) dan pemberi penjelasan kepada manusia.
Al-Quran juga dikenali sebagai an-Nur (cahaya) yang menerangi dan Al-Furqan (yang dapat membezakan) di antara yang hak dan batil, Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 185:
Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah)”.
Jadikan al-qur’an sebagai Teman Setia kita di dunia kerana bila kita kembali bertemu Allah al-Quran mampu menolong kita dengan memberikan syafaatnya. Pada masa itu tiada apa yang dapat membantu kita kecuali amal ibadat yang dilakukan sepanjang hidup kita di dunia ini termasuk membaca al-Quran.
Semoga kita dapat menghayati dan menjiwai peristiwa Nuzul Quran ini dan memperoleh keberkatan dan keredhaan serta kasih sayang dari Allah SWT ????
“Ya Allah, tundukkanlah hati kami dengan cahaya al-qur’an, sinarilah hati kami dengan membaca al-Quran. Hiasilah akhlak kami dengan kemuliaan al-Quran. Baguskanlah amalan kami dengan berzikir serta bertadarrus al-Quran. Selamatkanlah kami dan keluarga kami dari api neraka kerana kemuliaan al-Quran. Masukkanlah kami ke dalam syurga-Mu Ya Allah dengan syafaat al-Quran. Aamiin”